pemikiran dan sumbangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 – 751/1350) dalam ekonomi.

Oleh:
Prof. Dr. Joni Tamkin Bin Borhan*
Abstract
This article explains about the contribution and economic
thought of Ibn Qayyim al-Jawziyyah, a great Muslim thinker
in the 13/14th century. His contributions and thought were
about the principles of Islamic economics, concept of
riches and poverty, economic of zakat, concept of interest,
marketing mechanism and price regulation. His thought
in economics was mainly to realize the concept of social
welfare, establishment of justice and elimination of injustice
in economic life.
PENDAHULUAN
Penulisan ini menjelaskan tentang pemikiran dan sumbangan Ibn Qayyim
al-Jawziyyah (691/1292 – 751/1350) dalam ekonomi. Dalam beberapa
penulisannya di pelbagai tempat Ibn Qayyim membincangkan antara lain
tentang asas falsafah ekonomi Islam, konsep kekayaan dan kemiskinan,
ekonomi zakat, konsep faedah, riba al-fadl dan riba al-nasi’ah, mekanisme
pasaran dan penghargaan. Inti pati utama dalam pemikiran ekonominya
ialah merealisasikan konsep kebajikan sosial, pelaksanaan keadilan dan
penghapusan eksploitasi dalam kehidupan perekonomian.
* Joni Tamkin Borhan, PhD adalah Professor di Jabatan Syariah dan Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan beliau juga adalah Timbalan
Pengarah, Ijazah Dasar, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
PEMIKIRAN EKONOMI IBN QAYYIM
AL – JAWZIYYAH
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
90
RIWAYAT HIDUP IBN QAYYIM
Nama beliau ialah Shams al-Din Abu `Abd Allah Muhammad b. Abu Bakr b.
Sa`ad 1 yang terkenal dengan nama Ibn Qayyim2 al-Jawziyyah.3 Ibn Qayyim
dilahirkan pada 7 Safar 691H/ 9 Januari 1292M di Damsyik dan meninggal
dunia pada tempat yang sama pada tahun 751H/1350M.4 Beliau dibesarkan
dalam keluarga yang mementingkan dan mencintai ilmu pengetahuan.
Ayahnya adalah guru pertama Ibn Qayyim yang telah mengajarkan kepadanya
ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu al-fara’id. Beliau telah menuntut
pelbagai bidang pengajian dengan beberapa orang ulama’ terkenal pada
waktu berkenaan. Antara guru-guru beliau ialah Qadi Sulayman b. Hamzah
(m. 711H/1311M), Shaykh Abu Bakr (m. 718H/1318M), al-Majd al-Tunisi
(m. 718 H), Abu al-Fath al-Ba’li (m. 709H), al- Saffi al-Hindi (m. 715H),
al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr b. `Abd al-Da’im (m. 718H), Abu Basr b.
al-Shirazi (m. 723H), `Isa al-Mut`im (9m.719H), Isma`il Maktum (m. 716H)
dan Ibn Taymiyyah (661H–728H/1263M–1328M). Antara bidang pengajian
yang dipelajari daripada mereka ialah tafsir al-Qur’an, hadith, usul al-fiqh
dan fiqh. Kesungguhan dan ketekunan Ibn Qayyim mempelajari ilmu dam
pelbagai bidang akhirnya menjadikan beliau terkenal sebagai seorang tokoh
dalam bidang fiqh, usul al-fiqh, tafsir, bahasa Arab, ilmu kalam dan hadis.
Malah menurut Ibn `Imad, Ibn Qayyim adalah seorang yang alim dalam
bidang tasawuf.5
1 Ibn Kathir (1966), al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut: Maktabah al-Ma`arif, 1966,
Vol. 14, h. 234; Ibn `Imad (t.t.), Shadharat al-Dhahab fi Akhbar min Dhahab,Beirut:
al-Maktab al-Tijari, Vol. 6, h. 168;
2 Terdapat beberapa lagi tokoh yang mempunyai nama yang sama dengan Ibn
Qayyim iaitu Ibn al-Qayyim al-Misri, Baha’ al-Din `Aly b. `Isy b. Sulayman
al-Tha`labi al-Misri seorang tokoh Hadith yang meninggal dunia di Mesir
pada tahun 710H (Lihat Ibn al-`Imad (t.t.), op.cit., Vol. 6, h. 23; `Iwad Allah
Jad al-Hijazi (1972/1392), Ibn Qayyim wa Mawqifuh Min al-Tafkir al-Islami,
Kaherah: Majma` al-Buhuth al-Islamiyyah, h. 36), dan Ibn al-Jawzi, Abu al-Faraj
`Abd al-Rahman b. al-Jawzi al-Hanbali, seorang faqih, ahli hadith, dan sejarawan.
Beliau dilahirkan pada tahun 510H/1126M. dan meninggal dunia di Baghdad pada
tahun 597H/1200M (Ibn Rajab (1953/1372), Dhayl `Ala Tabaqat al-Hanabilah,
Kaherah, Vol. 1, h. 399-434).
3 Al-Jawziyyah ialah sebuah sekolah yang dibina oleh Muhyi al-Din b. al-Hafiz Abu
al-Farj `Abd al-Rahman al-Jawzi di Bandar Damshik. `Iwad Allah Jad al-Hijazi
(1972/1392), op. cit., h. 35.
4 `Umar Rida Kahhalah (1957), Mu`jam al-Mu’allifin, Damsyik: al-Maktabah al-
`Arabiyyah, Vol. 9. h. 106.
5 Ibn `Imad (t.t.), op. cit., Vol. 6, h. 168.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
91
Ibn Qayyim sangat terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan pada
zamannya dan dapat mengusai pelbagai bidang ilmu. Beliau adalah salah
seorang faqih yang mempunyai autoriti dalam Mazhab Hanbali. Ada
sesetengah ulama’ sufi menggelar sebagai sufi agung. Beliau juga mempunyai
personaliti dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang lain
yang semasa dengannya.6 Ibn Kathir (m. 774H/1373M), salah seorang anak
muridnya pernah menyatakan bahawa Ibn Qayyim adalah seorang yang kuat
beribadat dan peribadi yang disukai oleh orang ramai pada waktu itu.7 Beliau
menulis:
“Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat
beribadat seperti Ibn Qayyim. Apabila sembahyang, sembahyangnya
begitu lama. Beliau memanjang ruku`nya dan juga sujudnya”.8
Selaku seorang ulama’ yang terkenal, Ibn Qayyim telah didampingi oleh ramai
orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang ilmu dengannya. Antara
anak-anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir tokoh dalam ilmu hadis
dan sejarah, Zayn al-Din Ibn Rajab al- Hanbali (m. 795H/1397M) seorang
tokoh dalam Mazhab Hanbali dan Ibn Hajar al-`Asqalani (m. 852H/1449M)
seorang tokoh hadis yang tidak asing lagi.9
PENULISAN IBN QAYYIM
Menurut penyelidikan Dr. `Iwad Allah Jad Hijazi penulisan Ibn Qayyim
dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah.10 Penulisan itu
ada yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil serta ringkas. Dalam
bidang tafsir Ibn Qayyim menulis Kitab al-Tibyan fi Iqsam al-Qur’an, Tafsir
al-Mu`awwizatayn, Tafsir Surah al-Fatihah yang terdapat di awal Kitab
Madarij al-Salikin11 dan lain-lain lagi. Dalam bidang hadis antaranya Ibn
Qayyim menulis kitab-kitab berikut iaitu Tahdhib al-Sunan oleh Abu Dawud12
6 `Iwad Allah Jad al-Hijazi (1972/1392), op. cit., h. 37 – 39.
7 Ibn Kathir (1953-9/1351-8), al-Bidayah wa al-Nihayah, Kaherah, Vol. 14, h.
235.
8 Ibid., Vol. 14, h. 235.
9 H Laoust (1993), “Ibn Qayim al-Jawziyyah”, Encyclopeadia Islam, (New Edition),
Vol. 8, London dan Leiden, h. 821 – 82.
10 `Iwad Allah Jad al-Hijazi (1972/1392), op. cit., h. 42 – 52; cf Ibn `Imad (t.t.),
op.cit., Vol. 6, h. 169 dan 179; Isma`il Basha al-Baghdadi (1955), Hayyah al-
`Arifin al-Asmi’ al-Mu’allifin, Baghdad: Maktabah al-Mathna, Vol. 2, h. 158.
11 (1408/1999), 3 Vols., Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
12 `Abd al-Qadir al-Arnawwal dan Ibrahim al-Arnawwal (eds.) (1973), Damsyik:
Maktabah Dar al-Bayan.
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
92
dan sebagainya. Dalam bidang fiqh dan usul fiqh beliau menyumbangkan
kitab-kitab berikut antaranya, I`lam al-Muwaqqi`in `an Rabb al-`Alamin,13
al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar`iyyah,14 al-Salah wa Ahkam
Tarikhiha, Tuhfah al-Mawdud bi Ahkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil `An
Istighna’ al-Musabaqah `an al-Tahlil, al-Tahlil Fi Ma Yahill wa Yahrum min
Libas al-Harir dan sebagainya. Dalam bidang tasawuf Ibn Qayyim menulis,
antaranya kitab-kitab Madarij al-Salikin, Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah
al-Mushtaqin,15 al-Fawa’id li Ibn Qayyim,16 `Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah
al-Shakirin,17 Tariq al-Hijratayn wa Bab al-Sa`adatayn dan sebagainya.
Dalam bidang kalam dan falsafah Ibn Qayyim menulis, antaranya, kitab-kitab
berikut, iaitu, Shifa’ a-`Alil fi Masa’il al-Qada’ wa al-Qadar wa al-Hikmah
wa al-Ta`lil, Kitab al-Ruh,18 Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, Miftah Dar
al-Sa`adah wa Manshur Wilayah al-`Ilm wa al-Iradah.19 Dalam bidang
sejarah beliau menulis Kitab Zad al-Ma`ad fi Hadi Khayr al-`Ibad.20 Ibn
Qayyim juga menulis al-Tibb al-Nabawi,21 Talbis Iblis,22 al-Jawab al-Kafi
`an Lima Su’ala `An al-Dawa’ al-Shafi 23 dan lain-lain lagi.
PEMIKIRAN EKONOMI IBN QAYYIM
Terdapat lima perkara utama pemikiran Ibn Qayyim dalam ekonomi iaitu:
1. Falsafah ekonomi Islam
2. Perbandingan dan perbezaan antara kekayaan dan kemiskinan
3. Kepentingan ekonomi zakat
4. Bunga – riba al-fadl dan riba al-nasi’ah
5. Mekanisme pasaran dan penghargaan
13 (1417/1996), 4 Vols., Muhammad al-Salam Ibrahim (ed.), Beirut: Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah.
14 (1380/1961), Kaherah: al-Mu’assasah al-`Arabiyyah li al-Tiba`ah wa al-Nashr.
15 (1416/1996), `Abd al-Razzaq al-Mahdi (ed), Beirut: Dar al-Khayr.
16 (1399/1979), Beirut: Dar al-Nafa’is.
17 (1415/1994), Kaherah: Maktabah al-Ayman.
18 (1406/1986), al-Sayyid al-Jumayli (ed), Kaherah: Maktabah al-Qayyimah.
19 (t.t., 2 Vols., Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
20 Kitab ini berjumlah 4 jilid. Antara penerbitnya ialah al-Matba`ah al-Misriyyah,
t.t. Dalam Kitab ini Ibn Qayyim menulis tentang sirah nabawiyyah,
peperangan-peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW berdasarkan
hadis-hadis dan amalan-amalan Baginda, dan lain-lain bab.
21 (t.t), Kaherah: Maktabah al-Qayyimah.
22 (t.t), Beirut: Dar al-Fikr.
23 (t.t), Kaherah: Maktabah al-Qayyimah.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
93
1. Falsafah ekonomi Islam
Ibn Qayyim dalam penulisannya telah menyentuh beberapa perkara berkenaan
dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep manusia Islam (homo islamicus)
dan manusia bukan ekonomi (non homo economicus), konsep keadilan dan
nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti-aktiviti ekonomi, kerjasama dan
pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu dan peranan
kerajaan dalam ekonomi.
a. Manusia Islam
Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap
manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri untuk menjadi
hamba Allah yang baik dan Allah SWT merupakan sumber pedoman
dan petunjuk.
Dalam pengajian ekonomi, manusia ekonomi (homo economicus)
digambarkan sebagai manusia yang sifat, gelagat dan tindakannya
mementingkan diri sendiri, tamak, haloba dan menjadikan keuntungan
sebagai asas penting dalam semua jenis aktiviti ekonomi. Ibn Qayyim
menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia
bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan Allah SWT merupakan
sumber yang menjadi pedoman dan petunjuk untuk menuju ke jalan
yang betul. Ibn Qayyim menekankan pandangan Islam bahawa hidup
di dunia ini adalah ujian dan cubaan dari Allah SWT. Ujian yang
dikenakan kepada manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah
harta kekayaan atau pun diberikan kehidupan yang susah. Anugerah
kekayaan kepada seseorang tidak bermaksud Allah SWT sayang
kepadanya. Demikian juga ujian kemiskinan tidak bermaksud Allah
SWT benci kepada seseorang. Harta kekayaan yang dimiliki oleh
manusia bukanlah bererti hidup ini penuh dengan kesenangan.24
b. Keadilan
Keadilan adalah teras semua aspek dalam kehidupan. Menurut Ibn
Qayyim, keadilan adalah objektif syariah. Ini adalah kerana syariah
itu mengandungi keadilan, keberkatan dan kebijaksanaan. Perkara
yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan keberkatan dan
kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada kebijaksanaan
kepada sesuatu yang tidak berfaedah kepada syariah.
24 Ibn Qayyim (1994), `Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin, (ed.), Abu Sahl
Najjah, Kaherah: Maktabah al-Iman, h. 194.
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
94
c. Nilai-nilai etika dalam kegiatan ekonomi
Ibn Qayyim menjelaskan nilai-nilai etika yang baik yang seharusnya
diamalkan oleh orang-orang Islam dalam kegiatan ekonomi mereka.
Antara nilai-nilai etika yang baik tersebut ialah kepatuhan kepada
Allah SWT, ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur dan benar.
Apabila nilai-nilai etika tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian
terutamanya dalam kegiatan ekonomi akan menjauhkan nilai-nilai
jahat seperti pembohongan, penipuan dan korupsi. Selanjutnya beliau
menjelaskan bahawa akibat kepada sifat semulajadi suka berbohong
ialah melakukan korupsi yang menyebabkan kejayaan tidak
tercapai dalam kehidupan. Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan
perekonomian akan cacat termasuk juga aspek-aspek lain dalam
kehidupan. Dalam perkataan lain, pembohongan memberi impak
yang besar dalam kehidupan orang-orang Islam.25
Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan dan
kejahatan-kejahatan sosial, Ibn Qayyim menulis di tempat
lain bahawa kesan-kesan dosa adalah tidak baik dan dikutuk.
Dosa-dosa ini mencacatkan kepada jasad dan roh manusia yang
merosakkan kehidupan di dunia ini dan selepas mati. Beliau
memperkukuhkan pendapatnya dengan sepotong hadis Rasulullah
SAW yang mengatakan bahawa dosa menyebabkan pengurangan
dalam cara hidup manusia.26 Sebaliknya kepatuhan kepada perintah
Allah SWT dan melakukan amalan-amalan yang baik membawa
kepada peningkatan dalam cara hidup dan kejayaan-kejayaan
dalam urusan-urusan ekonomi.27 Sifat-sifat yang negatif seperti
pembohongan, penipuan dan pengeksploitasian serta ketidakjujuran
mendorong kepada keadaan yang tidak tenteram dalam kehidupan
masyarakat seperti huru-hara, kecurigaan, ketidakstabilan dan
kekecewaan. Apabila semua perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi
akan menguncup. Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam
masyarakat akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan
keselamatan dalam masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat
akan bekerjasama dalam proses pengeluaran dan kestabilan ekonomi.
Dalam perkataan lain pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan
akan meningkat dan masyarakat akan hidup mewah.28
25 Ibn Qayyim (t.t.), Miftah Dar al-Sa`adah, Beirut: Dar al-Kitab al-`Ilmiyyah, Jil.
2, h. 73.
26 Ibn Qayyim (1958), al-Da`wah, Kaherah: Matba`ah al-Madani, h. 73.
27 Ibid., h. 73.
28 Ibid.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
95
d. Aktiviti-aktiviti ekonomi
Berhubung dengan aktiviti ekonomi, Ibn Qayyim menjelaskan bahawa
ekonomi adalah teras kepada kehidupan manusia. Tanpa ekonomi
kehidupan akan susah dan keperluan jasmani seharian manusia
seperti makanan, minuman, tempat tinggal dan sebagainya tidak
boleh dipenuhi. Beliau memberikan banyak misalan umpamanya,
bagaimana bijirin hanya akan dapat dituai dan diperoleh oleh petani
dengan melakukan aktiviti pertanian. Tanpa berusaha dan bekerja
ianya tidak akan datang secara bergolek atau melayang.29 Ibn Qayyim
menyarankan supaya manusia giat melakukan sebarang aktiviti
ekonomi melainkan yang dilarang oleh Syariah seperti jual beli yang
mengandungi unsur-unsur gharar, riba dan perjudian.30
e. Kerjasama ekonomi dan pembahagian buruh
Ibn Qayyim menekankan konsep kerjasama dalam ekonomi dan
tanggungjawab sosial. Menurut beliau, meskipun manusia itu ramai
bilangannya dan dibahagikan kepada unit-unit yang berbeza, mereka
dianggap seperti satu jasad yang bekerjasama antara satu sama lain.
Kerjasama ini akan memberikan pulangan kepada mereka dengan
anugerah-anugerah yang tidak boleh mereka nikmati jika bekerja
secara sendirian. Beliau yakin bahawa gandaan dan kepelbagaian
manusia memerlukan kepada kerjasama dan pembahagian buruh.31
f. Pemilikan harta kekayaan oleh individu dan campur tangan
kerajaan dalam ekonomi.
Ibn Qayyim menganjurkan campur tangan kerajaan dalam pemilikan
harta kekayaan oleh individu jika individu menggunakan harta
kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan faedah
masyarakat yang lebih besar. Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim
telah memetik sepotong hadith Rasulullah SAW berkenaan dengan
seorang hamba (harta) yang dimiliki bersama oleh beberapa rakan
kongsi (tuan) hendak dibebaskan oleh salah seorang daripada
tuannya dan tuan-tuan yang lain tidak bersetuju dengan pembebasan
tersebut. Dalam kes ini Rasulullah SAW memutuskan harga yang adil
kepada hamba itu dinilai dan rakan-rakan kongsi yang lain diminta
menerima bahagian masing-masing. Selepas itu, hamba berkenaan
telah dibebaskan. Selepas menukilkan hadis ini Ibn Qayyim menulis
29 Ibn Qayyim (1975), Shifa’ al-`Alil, Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, h. 56.
30 Ibn Qayyim (1996), I`lam al-Muwaqqi`in `an Rabb al-`Alamin, Beirut: Dar al-
Kutub al-`Ilmiyyah, Vol. 1, h. 291.
31 Ibid., Jil. 3, h. 268.
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
96
bahawa hadis tersebut menjadi asas kepada peraturan sesuatu harta
yang tidak boleh dibahagikan dan dimiliki bersama boleh dijual jika
salah seorang daripada para pemiliknya berhasrat untuk menjualnya.
Hadith berkenaan juga menyokong prinsip yang dipakai iaitu jika
seseorang itu harus dibayar ganti rugi ia hendaklah dalam bentuk
harga yang adil.32
Kisah di atas menjelaskan bahawa kerajaan mempunyai hak mengambil
sesuatu yang menjadi menjadi milik individu jika pengambilan itu
memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dengan
membayar ganti rugi yang seadilnya. Konsep pemilikan, kemiskinan
dan kekayaan mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain.
Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim memfokuskan penulisannya dalam
pemilikan individu terhadap harta kekayaan serta keharusan campur
tangan kerajaan dalam pemilikan tersebut.
2. Pandangan Ibn Qayyim tentang kekayaan dan kemiskinan
Penyebaran pengaruh tasawuf yang meluas pada masa Ibn Qayyim
mengakibatkan masyarakat melupakan kehidupan duniawi dan menumpukan
terus kepada kehidupan ukhrawi. Fahaman yang salah ini menyebabkan
orang ramai hidup dalam kemiskinan dan kepapaan kerana bagi mereka harta
kekayaan itu adalah kehidupan dunia yang sementara dan tidak perlu dicari.
Untuk membetulkan salah faham ini, Ibn Qayyim cuma sedaya upaya supaya
masyarakat Islam yang sewaktu dengannya kembali kepada ajaran Islam yang
sebenarnya iaitu perimbangan antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat.
Lebih lanjut lagi supaya masyarakat dapat menyeimbangkan antara pemilikan
kekayaan dan kehidupan kemiskinan.33
Ibn Qayyim berhujah bahawa kekayaan yang dimiliki oleh seseorang itu
membolehkannya melaksanakan semua jenis amalan kebaikan dengan mudah
seperti menunaikan haji, jihad, membina masjid dan terusan, memberikan
hadiah, berkahwin, pembebasan tawanan, perbelanjaan yang wajib dan
sunat dan sebagainya. Mereka yang sependapat dengan Ibn Qayyim juga
berpendapat bahawa ramai contoh-contoh di kalangan sahabat dan mereka
yang berkedudukan tinggi waktu itu pada waktu Nabi Muhammad SAW
terdiri daripada orang kaya. Dengan kekayaan itu mereka membuat pelbagai
32 Ibn Qayyim (1953), al-Turuq al-Hukmiyyah, Kaherah: Matba`ah al-Sunnah al-
Muhammadiyyah, h. 245 – 246, 259 – 260.
33 Ibn Qayyim (1994), `Uddah al-Sabirin, h. 257.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
97
sumbangan dan penglibatan dalam jihad serta membantu orang-orang Islam
yang lain.34
Selanjutnya dalam hal ini Ibn Qayyim berpendapat iaitu “daripada
kalangan orang kaya dan orang miskin, yang paling disukai adalah makhluk
yang bertaqwa pada Allah dan dia melebihkan amanah-amanah baik. Oleh
itu, orang kaya dan orang miskin adalah sama dalam asas ukuran ini.”35
Dia juga berpendapat bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah ciptaan
Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya siapa yang lebih baik dalam
amalan-amalannya.36 Kadang-kala Allah menguji seseorang dengan
memberikan kepadanya kekayaan yang melimpah ruah. Pada masa yang
lain seseorang itu diuji dengan kemiskinan.37 Kenyataan di atas adalah selari
dengan prinsip asas falsafah ekonomi Islam sebagaimana yang dihuraikan
oleh ahli-ahli ekonomi Islam berkenaan.
Ibn Qayyim juga mengingatkan kita supaya tidak terkeliru antara konsep
kemiskinan dan kehidupan yang zuhud di dunia. Zuhud ialah antara nilai Islam
yang paling penting yang disalahertikan sebagai pelepasan kekayaan dan
perkara-perkara baik dalam kehidupan.38 Dalam penulisannya iaitu Madarij
al-Salikin, Ibn Qayyim telah mengemukakan pelbagai pendapat berkenaan
dengan zuhud.39 Beliau bertegas mengatakan bahawa zuhud bukan bererti
menolak perkara-perkara duniawi. Harta benda yang banyak bukan menjadi
penghalang kepada seseorang untuk menjadi insan yang warak dalam hidup
mereka. Seseorang boleh mempunyai sikap membersihkan diri dan menolak
perkara-perkara duniawi meskipun ia mempunyai banyak harta kekayaan, dan
seseorang juga boleh memiliki sedikit sifat zuhud meskipun ia hidup dalam
kemiskinan.40
3. Kepentingan Ekonomi Zakat
Menurut Ibn Qayyim fungsi zakat ialah untuk membangunkan kualiti
kebaikan, persaudaraan dan kebajikan. Atas alasan inilah kadar khusus zakat
ditetapkan. Ia boleh mencapai tujuan ini dengan mudah tanpa menyebabkan
sebarang keresahan. Jumlah bayaran zakat tidak terlalu banyak yang boleh
34 Ibid., h. 257 – 258.
35 Ibid., h. 162.
36 Ibid., h. 176.
37 Ibid., h. 162.
38 Ibn Qayyim (1408/1999), Madarij al-Salikin, Vol. 2, Beirut: Dar al-Kutub al-
`Ilmiyyah, h. 1.
39 Ibid., h. 15 – 20.
40 Ibid., h. 16 – 20.
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
98
menyebabkan pembayarnya merasa terkilan. Bayaran tersebut cukup untuk
memenuhi keperluan asas golongan yang tidak berada. Jika kadar bayaran
zakat itu tinggi, orang-orang yang kaya berkemungkinan mengelak dengan
pelbagai cara daripada membayarnya. Jika golongan yang kaya enggan
membayar zakat yang diwajibkan ke atas mereka dan golongan yang miskin
tidak menerima apa yang menjadi hak kepada mereka, fungsi pembayaran
zakat seperti diterangkan di atas tidak boleh dicapai.41
Ibn Qayyim menulis bahawa zakat dikenakan ke atas setiap jenis
harta kekayaan dan ke atas setiap barang-barang yang boleh meningkatkan
pertumbuhan dan memberikan pulangan. Barang-barang untuk tujuan
penggunaan seperti pakaian, rumah, peralatan, binatang tunggangan dan
seumpamanya bebas daripada kewajipan dikenakan zakat. Hanya empat
jenis harta sahaja yang dikenakan zakat iaitu binatang ternakan, tanaman dan
buah-buahan, emas dan perak serta barang-barang dagangan.42
Terdapat empat kadar zakat yang diambil berat iaitu 20% (1/5), 10%
(1/10), 5% (1/20) dan 2.5% (1/40). Ibn Qayyim membincangkan dalam dua
tempat dalam penulisan-penulisannya tentang kepentingan dan sebab ekonomi
di sebalik kadar zakat yang berlainan. Menurut beliau, penglibatan buruh
adalah pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan kadar-kadar itu.
Semakin besar jumlah buruh yang terlibat dalam sesuatu proses pengeluaran,
semakin kecil kadar zakat yang perlu dibayar dan sebaliknya. Umpamanya
kadar zakat ke atas tanaman yang diairi dengan air hujan ialah 10% dan 5%
bagi tanaman yang diairi oleh tenaga buruh.43
Selain daripada jumlah buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran
menjadi penentu kadar zakat, Ibn Qayyim juga menjelaskan faktor lain yang
menyumbang kepada perkara tersebut. Antaranya ialah untuk mewujudkan
konsep keadilan dalam ekonomi. Jika semua pemilikan mempunyai kadar
zakat yang sama, galakan untuk berusaha dan bekerja akan hilang daripada
pemilik-pemilik harta berkenaan. Juga kerana kadar peningkatan barang-barang
adalah berlainan. Peningkatan dalam tanaman dan buah-buahan adalah lebih
daripada peningkatan dalam barang-barang perdagangan. Kadar peningkatan
yang berbeza ini memberikan kesan yang berbeza dalam cukai. Dalam kes ini
cukai yang perlu dibayar oleh pengeluar barang-barang pertanian adalah lebih
berbanding dengan cukai yang perlu dibayar oleh para pedagang terhadap
barang-barang dagangan mereka. Pertumbuhan tanaman yang diairi oleh air
41 Ibn Qayyim (1996), I`lam al-Muwaqqi`in, Vol. 3, h 195.
42 Ibn Qayyim (1990), Zad al-Ma`ad fi Hadi Khayr al-`Ibad, Vol. 2, Beirut: Muassasah
al-Risalah, h. 5.
43 Ibid., h. 6-7.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
99
hujan adalah lebih baik berbanding dengan pertumbuhan tanaman yang diairi
oleh usaha manusia atau terusan atau perigi.44
Abdul Azim Islahi ketika mengulas pendapat Ibn Qayyim menyatakan
bahawa pendapat itu mempunyai kebenarannya pada zaman dahulu yang
hampir-hampir tidak terdapat industri berskala besar dalam bidang perniagaan.
Industri yang wujud dalam industri kebanyakannya hanya dalam bentuk
perniagaan kecil. Bentuk pengairan dan pertanian adalah dalam bentuk yang
mudah dan tidak kompleks. Tetapi situasinya adalah berlainan dengan masa
sekarang. Bentuk perniagaan domestik dan luar negara adalah dalam skala
besar, dan kegiatan pertanian diuruskan menggunakan cara dan teknik yang
canggih dan moden. Oleh itu, justifikasi yang dikemukakan oleh Ibn Qayyim
tentang perbezaan kadar kewajipan membayar zakat adalah sukar untuk
diterima.45
Berkenaan dengan tempoh pembayaran zakat, Ibn Qayyim menulis
bahawa zakat boleh dibayar apabila cukup tempoh satu tahun pemilikan
harta kecuali pada harta kekayaan yang tidak diketahui pemiliknya, zakat
akan dikenakan serta merta seperti penemuan harta karun. Sementara dalam
kes zakat pertanian, ia akan dikutip pada masa hasil dituai. Tempoh satu
tahu yang ditetapkan oleh syariah adalah paling sesuai dan memadai untuk
kutipan zakat. Jika zakat dikutip untuk tempoh bulanan dan mingguan, ia
akan menjejaskan kemaslahatan pembayar zakat. Sementara jika ia dikutip
sekali sahaja sepanjang hidup, ia akan menjejaskan kebajikan dan kehidupan
golongan miskin. Oleh itu tempoh haul setahun qamariyyah adalah sesuai.46
Dalam tempoh itu, pemilik harta berkenaan boleh menggunakan hartanya
pada jalan yang produktif dan mendapatkan pulangan. Sebaliknya jika zakat
dibayar setiap minggu atau bulan, ia akan menyusahkan para pembayar zakat
untuk membuat taksiran pada harta mereka dan bagi negara pula pengurusan
kutipan dan agihan zakat akan menjadi mahal dan sukar.47
Zakat yang dikutip oleh negara akan diagihkan pada mereka yang
berhak untuk menerimanya. Ibn Qayyim menjelaskan bahawa terdapat
lapan golongan yang berhak menerima bahagian zakat sebagaimana yang
ditetapkan oleh al-Qur’an. Beliau membahagikannya kepada dua kategori.
Kategori yang pertama ialah mereka yang berhak menerima zakat mengikut
44 Ibid., h. 7.
45 Abdul Azim Islahi (1992), “Economic Thought of Ibn Qayyim”, dalam AbulHasan
M. Sadeq, et al (eds.), Readings in Islamic Economic Thought, Petaling Jaya:
Longman Malaysia, h. 162.
46 Ibn Qayyim (1990), Zad al-Ma`ad, Vol. 2, h. 8.
47 Abdul Azim Islahi (1992), op. cit., h. 162 – 163.
Jurnal Usuluddin, Bil 25 [2007] 89-101
100
keperluan iaitu fakir, miskin, riqab dan ibn sabil. Kategori kedua ialah mereka
yang menerimanya untuk kegunaan sendiri iaitu amil, mualaf, orang yang
berhutang untuk tujuan baik dan mereka yang berjuang fi sabil Allah.48
4. Bunga – riba al-fadl dan riba al-nasi’ah
Ibn Qayyim juga membincangkan persoalan riba yang menjadi teras dalam
amalan perbankan dan kewangan konvensional dan beliau menyatakan
amalan riba amat bertentangan dengan amalan zakat dan sedekah. Ibn Qayyim
memetik ayat 276 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud;
“Allah SWT susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan
mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang
dikeluarkan) sedekah dan zakat.”49
Beliau membahagikan riba kepada dua jenis iaitu riba al-fadl 50dan riba
al-nasi’ah.51 Riba al-fadl diistilahkan juga oleh Ibn Qayyim sebagai riba
al-khafi dan riba al-nasi’ah sebagai riba al-jali. Riba al-Fadl berlaku dalam
urus niaga enam jenis komoditi yang ditukar sesama komoditi berkenaan
secara tidak sama sukatan atau timbangan dan secara hutang. Keenam-enam
komoditi tersebut ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.
Sementara riba al-nasi’ah berlaku pada transaksi hutang wang dengan
wang yang dibayar secara tidak sama nilai atau jumlahnya.52 Umpamanya
A meminjam RM100.00 daripada B dan B meminta A membayar hutang
tersebut dengan jumlah yang lebih umpamanya, RM120.00.
Ibn Qayyim melarang amalan semua jenis riba kerana ia boleh memberi
kesan buruk kepada masyarakat dan menghilangkan perasaan ihsan dan
semangat tolong menolong. Sebaliknya ia boleh menimbulkan permusuhan
antara individu.53
5. Mekanisme Pasaran dan Penghargaan
Berkenaan dengan mekanisme pasaran Ibn Qayyim menjelaskan bahawa
perjalanan pasaran hendaklah berlaku secara adil dan kerjasama terpimpin.
Unsur-unsur negatif dalam pasaran yang boleh mengakibatkan kezaliman
kepada para peniaga lain seperti monopoli, sorok, paksaan dan sebagainya
48 Ibn Qayyim (1990), Zad al-Ma`ad, Vol. 2, h. 9.
49 Ibn Qayyim (1996), I`lam al-Muwaqqi`in, Vol. 2, h. 103.
50 Ibid., h. 104.
51 Ibid., h. 103.
52 Ibid., h. 103 – 104.
53 Ibid., h. 103 – 105.
Pemikiran Ekonomi Ibn Qayyim Al – Jawziyyah
101
hendaklah diawasi oleh pihak pemerintah melalui institusi hisbah dan
seumpamanya. Demikian juga dengan kes penghargaan barang-barang dan
perkhidmatan di pasaran, beliau berpendapat ia hendaklah diserahkan pada
pasaran iaitu berdasarkan kepada kuasa penawaran dan permintaan di pasaran.
Jika ia berjalan secara adil, kerajaan tidak boleh campur tangan membuat
penetapan harga kerana ia boleh menimbulkan kezaliman kepada mereka
yang terlibat dalam pasar. Sebaliknya jika unsur-unsur negatif berlaku seperti
kezaliman, paksaan, manipulasi dan sebagainya yang menyebabkan harga di
pasar tidak menentu, maka kerajaan harus campur tangan untuk menstabilkan
harga barang-barang berkenaan untuk masalah pengguna dan peniaga.
KESIMPULAN
Perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa sumbangan pemikiran
ekonomi Ibn Qayyim adalah amat besar dalam perkembangan pemikiran
ekonomi Islam. Beliau adalah seorang tokoh pemikir dan ulama terkenal
dalam perbagai bidang disiplin ilmu termasuk ekonomi. Pemikiran beliau
dalam ekonomi seperti pasaran, kawalan harga, nisbah dan sebagainya lebih
dahulu dikemukakan daripada teori-teori ekonomi yang dicetuskan oleh para
sarjana Barat seperti Adam Smith, Alfred Marshal, Maltus dan sebagainya.
Pemikiran dan teori ekonomi Ibn Qayyim seperti dijelaskan di atas masih
lagi relevan untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan kewangan
semasa.

 

 

 

Posted on เมษายน 4, 2012, in Ekonomi. Bookmark the permalink. ใส่ความเห็น.

ใส่ความเห็น

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Connecting to %s

%d bloggers like this: