คลังเก็บบล็อก

PEMIKIRAN PEMBANGUNAN EKONOMI BERTERASKAN ISLAM

Oleh:
Joni Tamkin Bin Borhan∗
ABSTRAK
Pembangunan merupakan konsep yang multi-dimensi dan komprehensif mengandungi persoalan ekonomi dan bukan ekonomi. Pembangunan ekonomi adalah salah satu komponen penting dalam konsep pembangunan yang komprehensif. Ia juga merangkumi aspek-aspek yang boleh diukur dan tidak boleh diukur. Manakala konsep pembangunan ekonomi dalam Islam mengandungi nilai dimana objektif utamanya ialah untuk mencapai kebajikan manusia. Kebajikan manusia ini, menurut Islam tidak dianggap lengkap tanpa pembangunan nilai moral yang tidak dipentingkan dalam teori pertumbuhan ekonomi konvensional. Nilai-nilai moral ini adalah aspek yang tidak boleh diukur dan tidak boleh dipisahkan dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara.
ABSTRACT
Development is a multi-dimensional and comprehensive concept which includes both economic and non-economics matters. Economic development is an important component of this comprehensive development. Economic development has again several aspects, both quantifiable and non-quantifiable. The concept of economic development in Islam is value-loaded whereby the principal objective is human welfare. Human welfare is incomplete without moral development which appears to be negatively related to
∗ Joni Tamkin Bin Borhan, PhD, merupakan Profesor dan Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah, RHB Islamic Bank Berhad.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
94
economic growth in society free from normative values. These values are non-separable elements of economic development in Islam which constitute its non-quantified aspects in the Islamic economic system.
Keywords: Islamic economic development, Moral values, Spiritual development
PENDAHULUAN
Islam merupakan agama yang syumul kerana ia mengandungi peraturan hidup yang lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi. Islam menyeru ummatnya supaya maju dalam segala aspek kehidupan termasuk kemajuan dan pembangunan dalam bidang ekonomi dan kewangan. Konsep pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam seperti yang digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah dan juga yang dikemukakan oleh para ulama dan sarjana dalam ekonomi Islam berbeza dengan konsep pembangunan ekonomi yang dikemukakan oleh pemikiran ekonomi barat. Pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam adalah bersifat material dan spiritual, merangkumi tidak sahaja pembangunan ekonomi, tetapi juga merangkumi pembangunan manusia itu sendiri, pembangunan sosial, kebudayaan dan sebagainya. Dalam perkataan lain impak kepada pembangunan ekonomi dalam Islam adalah syumul, merata dan bermatlamatkan falah untuk pembinaan Ummah yang bertamadun. Dalam artikel ini akan dibincangkan onsep pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam, objektif pembangunan ekonomi dalam Islam, strategi pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam dan impak pembangunan ekonomi berteraskan Islam dalam pembinaan Ummah bertamadun.
KONSEP PEMBANGUNAN EKONOMI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Menurut teori ekonomi komunis, konsep pembangunan ekonomi hanya dilihat sebagai sebahagian daripada konsep kebendaan. Apa-apa perancangan ekonomi oleh negara yang lari daripada fahaman di atas dianggap menyimpang daripada fahaman komunis dan dianggap sebagai borjuis.1 Sementara dalam sistem ekonomi kapitalis, pembangunan ekonomi hanya melihat dari aspek pembangunan kebendaan dan fizikal
1 Surtahman Kastin Hassan (1995), Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 185; Nyang, S. S. (1976), “The Islamic State and Economic Development: A Theoretical Analysis”, Islamic Culture, Vol. 50, h. 11.
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
95
yang terus mengabaikan pembangunan nilai-nilai moral dan spiritual serta pembangunan diri manusia itu sendiri.2 Sebaliknya konsep pembangunan ekonomi dalam Islam adalah bersifat komprehensif dan bersepadu iaitu pembangunan yang meliputi pembangunan dalam akhlak, kerohanian dan kebendaan. Aspek akhlak, kerohanian, kebendaan, sosial dan ekonomi tidak boleh dipisahkan untuk mencapai matlamat pembangunan sosio-ekonomi dalam Islam. Pembangunan menjadi kegiatan yang berorientasikan matlamat dan nilai yang ditumpukan ke arah mempertingkatkan tahap kesejahteraan hidup manusia dalam semua dimensi.3 Kesejahteraan dan falah dalam kehidupan manusia melewati kehidupan sementara manusia di dunia dan kesejahteraan, dan falah manusia dalam kehidupan kekal abadi di akhirat.4
Fokus dan inti utama pembangunan dalam Islam ialah pembangunan manusia itu sendiri termasuk persekitaran fizikal serta sosial budayanya.5 Ini bererti Islam menganggap diri manusia sendirilah yang merupakan tempat sebenar aktiviti pembangunan termasuk faktor fizikal modal, buruh, organisasi, pelajaran dan kebolehan, faktor-faktor kemanusiaan seperti sikap, insentif, rasa dan juga aspirasi juga menjadi angkubah yang akan meluaskan lagi spektrum pembangunan ekonomi dalam Islam. Sementara konsep pembangunan ekonomi dalam pemikiran ekonomi Barat hanya menekankan pembangunan kebendaan dan persekitaran fizikal sahaja.
Pembangunan ekonomi dalam Islam bersifat multi-dimensional (pelbagai dimensi)6 iaitu pembangunan yang seimbang di antara faktor kebendaan dan kerohanian, kuantitatif dan kualitatif, dalaman dan luaran. Antara prinsip dinamik dalam kehidupan sosial Islam ialah memberikan penekanan yang istimewa kepada dua perkara; pertama, penggunaan secara optimum sumber-sumber yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia dan juga persekitaran fizikalnya. Kedua, penggunaan serta pengagihan sumber-sumber tadi secara adil dan penggalakkan perhubungan manusia atas dasar hak dan keadilan. Islam amat memuji nilai shukr
2 Surtahman Kastin Hassan (1995), op. cit., h. 185.
3 Syed Othman al-Habshi (1992), “Ekonomi dan Pembangunan Masyarakat Dalam Islam”, Risalah, Mei , h. 41; Surtahman Kastin Hassan (1995), op. cit., h. 185-186.
4 Surtahman Kastin Hassan (1995), op. cit., h. 186; Lihat juga AbulHasan Muhammad Sadeq (1990), Economic Development in Islam, Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd., h. 1-12.
5 “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. Surah al-Ra`d 13:11.
6 Hal ini semakin disedari oleh ahli-ahli ekonomi konvensional. Umpamanya, Max F. Milikan menegaskan bahawa perlunya mempelajari pengalaman pembanguna manusia untuk melihat pembangunan itu sebagai “interaksi sistematik banyak unsur”. Lihat, Milikan, Max F. (1973), “A Strategy of Development”, dlm U.N., The Case of Development, New York: Praeger Special Studies, h. 25.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
96
(berterima kasih kepada Allah S.W.T. kerana mengurniakan rahmatNya) dan `adl (keadilan) dan mengutuk kehinaan kufr (menafikan Allah S.W.T. dan rahmatNya) serta zulm (ketidakadilan).7
Berasaskan kepada konsep ini, proses pembangunan itu dimobilisasikan serta digiatkan melalui shukr dan `adl. Proses pembangunan itu juga boleh dipesongkan serta digugat oleh kufr dan zulm. Dalam hal ini al-Qur’an menegaskan, maksudnya:
Allah jualah yang telah menciptakan langit dan bumi. Dia menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk memberi kamu makanan. Dialah yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan ia juga yang menjadikan matahari dan bulan, kedua-duanya sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Jika kamu cuba menghitung nikmat Allah kepada kamu, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka kepada ketidakadilan lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”8
Kesejahteraan dan kebajikan serta falah yang ingin dicapai dalam kerangka pembangunan ekonomi Islam bukan sekadar untuk memenuhi keperluan duniawi semata-mata, tetapi juga kesejahteraan, kebajikan dan falah di akhirat, dan antara keduanya tidak ada garis pemisah. Pembangunan ialah kegiatan yang berorientasikan matlamat dan nilai yang ditumpukan ke arah memeprtingkatkan kesejahteraan hidup manusia dalam semua dimensi.9 Dalam kata lain, pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam adalah untuk mencapai kebajikan, kesejahteraan dan falah material duniawi dan ukhrawi.
Asas falsafah pembangunan ekonomi dalam Islam sebagaimana yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi Islam10 adalah berasaskan kepada falsafah Tauhid, rububiyyah, khilafah dan tazkiyah. Falsafah Tauhid (Keesaan dan kekuasaan Allah) meletakkan peraturan-peraturan tentang hubungan Allah S.W.T. dengan manusia dan hubungan
7 Ahmad, Khurshid (1980), “Economic Development in an Islamic Framework”, dalam Ahmad, Khurshid (ed.), Studies in Islamic Economics, Leicester: The Islamic Foundation, h. 179
8 Surah Ibrahim 14:32-34.
9 Ibid., h. 180; Lihat juga Muhammad Syukri Salleh et al. (2000), “Kerangka Pembangunan Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, Nov, h. 67.
10 Lihat umpamanya, Ahmad, Khurshid (1980), op.cit., h. 178-179.
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
97
manusia sesama manusia. Falsafah rububiyyah bererti mengakui sifat Allah S.W.T. sebagai penguasa yang membuat peraturan-peraturan bagi menampung dan menjaga serta mengarahkan kehidupan makhluk ke arah kesempurnaan. Falsafah ini merupakan undang-undang asasi dalam alam jagat yang merupakan pedoman tentang model yang suci bagi pembangunan sumber supaya berguna, saling sokong menyokong dan saling berkongsi antara meraka. Dalam kontek peraturan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. inilah usaha-usaha manusia harus dijalankan. Falsafah khilafah ialah falsafah yang menentukan peranan dan status manusia selaku khalifah di muka bumi ini yang bertanggungjawab sebagai pemegang amanah Allah S.W.T. dalam bidang akhlak, politik, ekonomi dan juga prinsip organisasi sosial bagi manusia. Sementara falsafah tazkiyah ialah peranan para nabi dan rasul yang diutuskan ke dunia ini berperanan dalam penyucian hubungan manusia dengan Allah S.W.T., manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar, dan manusia dengan masyarakat dan negara. Apa yang dapat difahami dari falsafah ini ialah bahawa dengan konsep tazkiyah manusia dapat membangunkan dirinya yang akhirnya dapat membangunkan semua demensi kehidupannya termasuk dimensi ekonomi. Hasil daripada konsep tazkiyah ini ialah al-falah iaitu kesejahteraan kehidupan di dunia dan di akhirat.
Menurut perspektif ekonomi konvensional, pembangunan didefinisikan sebagai “satu siri kegiatan ekonomi yang boleh menyebabkan bertambahnya daya pengeluaran ekonomi pada keseluruhannya serta daya pengeluaran pekerja biasa, dan juga meningkatnya nisbah kaum pekerja berbanding dengan jumlah penduduk”.11 Ia dipandang sebagai proses dinamik yang melibatkan perubahan struktur. Perubahan ini akan melahirkan kemajuan yang besar dan berterusan dalam prestasi ekonomi berkenaan, dari segi sebenar dan juga potensi, yang biasanya diukur mengikut per kapita benar. Perubahan ini juga meliputi tempoh masa yang agak panjang. Intipatinya terletak dalam kemampuannya membolehkan sesuatu masyarakat itu mengawal dengan berkesan suasana ekonomi mereka supaya ia dapat membaiki mutu kehidupan.12
Daripada fahaman ini dapat difahami bahawa pembangunan dalam kerangka ekonomi konvensional akan membawa implikasi kuantitatif dan kualitatif. Perubahan-perubahan kuantitatif dan kualitatif kepada
11 Bonne, Alfred (1960), Studies in Economic Development, London: Routledge and Kegan Paul, h. 250.
12 Lihat Burton, Henry J. (1965), Principles of Economic Development, Englewood Cliffs: Prentice Hall Inc., h. 2-3; Lewis, Arthur (1955), The Theory of Economic Growth, London: George Allen and Unwin, h. 420-435; Ahmad, Khurshid (1980), op. cit., h. 178; Idem (1991), “Pembangunan Ekonomi Dalam Rangka Kerja Islam” dalam Khurshid Ahmad (ed.), Kajian Dalam Ekonomi Islam (tr.), Sibly bin Maros dan Amir Hussin Baharuddin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 269-270.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
98
angkubah-angkubah ekonomi yang utama di peringkat makro atau agregat dan di peringkat mikro atau individu. Angkubah-angkubah tersebut ialah keluaran negara kasar dan per kapita, produktiviti pekerja, pendapatan per kapita, paras tabungan dan pelaburan, jurang pendapatan antara kelompok-kelompok masyarakat dan sebagainya yang dilihat secara kuantitatif.13 Impak pembangunan dalam kerangka ekonomi konvensional diukur dan dinilai berdasarkan pencapaian pembangunan secara lahiriah dan material. Aspek pembangunan kerohanian, akhlak dan keimanan diabaikan dalam proses mencapai matlamat pembangunan. Ini adalah kerana asas falsafah pembangunan yang hanya diukur berdasarkan angkubah yang bersifat kualitatif dan kuantitatif. Dalam pemikiran ekonomi yang berasaskan pemikiran manusia ini juga meletakkan aspek mencapai keuntungan maksimum sebagai aspek terpenting dalam apa jua kegiatan ekonomi seperti kegiatan pengeluaran barangan dalam ekonomi. Aspek agama dan rohani dipisahkan sama sekali, malah aspek ini adalah penghalang kepada kemajuan, pemodenan dan pembangunan yang dirancangkan.
OBJEKTIF PEMBANGUNAN EKONOMI DALAM ISLAM
Objektif pembangunan ekonomi dalam Islam adalah untuk mencapai al-falah di dunia dan di akhirat. Konsep ini bermaksud setiap peningkatan taraf hidup masyarakat itu hendaklah disertai dengan niat atau tujuan untuk mendapat keredaan Allah S.W.T.. Seperti yang diajukan oleh ahli-ahli ekonomi Islam,14 objektif polisi pembangunan dalam kerangka Islam adalah seperti berikut:
Pembangunan sumber insan1. 15
Pembangunan sumber insan atau manusia haruslah menjadi objektif utama dalam polisi pembangunan Islam. Dalam hal ini, selain kekuatan akhlak dan kerohanian, pembangunan harus mengambil kira sikap dan aspirasi yang betul, pembangunan perwatakan dan personaliti, pendidikan dan latihan yang menimbulkan kemahiran yang diperlukan untuk pelbagai kegiatan, menggalakkan pengetahuan dan penyelidikan, serta evolusi mekanisme bagi penyertaan yang bertanggungjawab dan kreatif oleh orang biasa dalam kegiatan pembangunan yang penting, dalam membuat keputusan di semua peringkat dan akhirnya dalam berkongsi hasil dari pembangunan itu sendiri. Keutamaan harus diberikan dalam pengembangan pendidikan, orientasi rohani dan pengembangan struktur perhubungan baru yang berasaskan kepada kerjasama, perkongsian dan penyertaan.
13 Ahmad Mahdzan Ayob (1989), Perancangan dan Penilaian Projek Pembangunan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 1.
14 Ahmad, Khurshid (1980), op. cit., h. 180-182.
15 AbulHasan Muhammad Sadeq (1990), op. cit., h. 23-24.
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
99
Pertambahan pengeluaran yang bermanfaat2.
Pertambahan yang berterusan dan berkekalan dalam keluaran negara adalah objektif penting dari sudut jenis barangan, kuantiti, kualiti dan percampuran keluaran yang betul. Pengeluaran bukanlah bermakna pengeluaran apa sahaja barangan yang diminta oleh pasaran atau yang mampu dibeli oleh kuasa wang oleh mereka yang kaya dan berada, tetapi pengeluaran hanya terlibat dengan pengeluaran barangan yang berguna kepada manusia menurut Syariah. Dalam kerangka ini, adalah diutamakan pengeluaran barangan keperluaan asas (daruriyyat) berbanding dengan barangan mewah (kamaliyyat) dan barangan keselesaan (tahsiniyyat), melengkapkan keperluan pertahanan dan meningkatkan pengeluaran barangan modal utama.
Dalam hal ini. Corak pengeluaran barangan dalam pemikiran ekonomi Islam adalah seperti berikut:16
Barang-barang dan perkhidmatan yang terlarang tidak akan diminta a. oleh pengguna muslim, oleh itu peruntukan dan pengeluaran barangan berkenaan adalah sifar.
Barangan mewah akan berkurangan permintaannya dan secara tidak b. langsung akan menjatuhkan peruntukan sumber dan pengeluaran barangan ini.
Industri pengeluaran barangan asas dan keselesaan akan c. berkembang. Sumber-sumber dalam ekonomi akan diperuntukan untuk pengeluaran barangan dalam kategori ini.
Bertambahnya permintaan terhadap masa lapang, dan kerja di d. luar bidang pengeluaran akan menyebabkan penawaran buruh, khususnya tenaga mental dan tenaga khidmat bagi mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan tinggi akan jatuh.
Pembaikan kualiti kehidupan3.
Usaha-usaha haruslah ditujukan untuk memperbaiki taraf kehidupan sebenar semua orang dan ke arah mencapai kebajikan akhlak, ekonomi dan sosial mereka. Untuk mencapai objektif ini, keutamaan yang tinggi harus diberikan sekurang-kurangnya kepada perkara berikut, iaitu;
Mengadakan peluang pekerjaan dan semua penyelarasan dari segi a. struktur, teknologi, pelaburan, kedaerahan dan pendidikan yang timbul daripadanya.
Mengadakan satu sistem jaminan sosial yang berkesan yang b. menjamin keperluan hidup yang asas bagi semua orang yang
16 Siddiqi, Muhammad Nejatullah (1979), The Economic Enterprise in Islam, Lahore: Islamic Publications Ltd., h. 101; Lihat juga Surtahman Kastin Hassan (1995), op. cit., h. 62.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
100
tidak berupaya melibatkan diri dalam pekerjaan atau usaha-usaha mencari nafkah hidup, dan mereka yang layak mendapat bantuan dan pertologan masyarakat melalui, umpamanya, institusi zakat, hibah, hadiah, sedekah dan sebagainya.
Melaksanakan sistem agihan pendapatan dan kekayaan yang c. saksama dan adil. Haruslah ada dasar yang kukuh untuk mengurangkan jurang perbezaan kekayaan antara golongan yang kaya dengan golongan yang kurang berada, dasar yang telus untuk meningkatkan pendapatan golongan yang miskin, yang akan mengurangkan nisbah penumpuan kekayaan kepada segolongan tertentu sahaja. Dalam kerangka ekonomi Islam dasar ini berlaku sebelum proses pengeluaran melalui, umpamanya, pemilikan ke atas harta-harta yang tidak bertuan dan penerokaan tanah yang kosong, selepas proses pengeluaran iaitu balasan yang setimpal kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pengeluaran yang meliputi pemilik modal, usahawan, pemilik tanah dan buruh, dan sistem agihan kekayaan dan pendapatan kepada mereka yang tidak terlibat dalam proses pengeluaran seperti orang tua, orang sakit, kanak-kanak, orang tak upaya dan sebagainya melalui institusi zakat dan sebagainya.17
Pembangunan seimbang4.
Ia bermaksud pembangunan yang harmoni dan seimbang antara wilayah dan antara sektor-sektor dalam masyarakat dan ekonomi. Desentralisasi ekonomi dan pembangunan yang tepat bagi semua bahagian dan sektor adalah dituntut untuk mencapai keadilan dan kemajuan yang maksimum.18
Penggunaan teknologi baru5.
Objektif ini bermaksud penggunaan teknologi yang sesuai dengan keadaan keperluan dan aspirasi negara. Proses pembangunan itu akan dapat bertahan sendiri hanya apabila sesebuah negara itu bebas daripada bantuan asing dan dapat menguasai teknologi yang terkini, maju dan mempunyai cap tersendiri. Oleh itu, keutamaan harus diberikan kepada usaha-usaha penyelidikan untuk mendapatkan teknologi dan semangat baru dalam era globalisasi dan langit terbuka ini.19
17 Lihat umpamanya, Al-Nubhan, Muhammad Faruq (1984), al-Ittijah al-Jama`i fi al-Tashri` al-Iqtisadi al-Islami, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 385-397
18 Surtahman Kastin Hassan (1995), op.cit., h. 188-189.
19 Ibid., h. 189.
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
101
Pengurangan pergantungan kepada negara luar6.
Adalah menjadi antara tuntutan kepada ummah untuk membebaskan diri dari pergantungan kepada kuasa luar yang bukan negara Islam dan menjadi kefarduan pula untuk mengeratkan hubungan di antara negara-negara Islam dalam semua hal supaya masing-masing saling cukup-mencukupi, Bantu-membantu, sokong-menyokong di antara satu sama lain. Dengan status orang Islam selaku khalifat di muka bumi tidak harus menjadi alat kepada kepentingan negara bukan Islam. Kesatuan dan kerjasama dalam pelbagai aspek antara negara-negara Islam akan mengutuhkan kesatuan ummah dalam aspek ekonomi dan sebagainya, yang akhirnya akan mewujudkan sebuah negara yang tidak bergantung kepada negara luar bukan Islam dan beransur-ansur membina kekuatan diri dan kuasa.20 Anjuran ini telah dinyatakan oleh al-Qur’an dengan maksudnya:21
Dan bersedialah untuk menentang mereka (musuh yang meceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya….
STRATEGI PEMBANGUNAN EKONOMI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM22
Oleh kerana pembangunan ekonomi dalam Islam itu bersifat bersepadu yang tidak boleh dibahagi-bahagikan, maka manusialah itu sebenarnya agen dan tunpuan kepada pembangunan.23 Pembangunan bukanlah matlamat tunggal yang ingin dicapai, tetapi ia merupakan wasilah kea rah supaya manusia itu dapat memainkan peranan yang lebih bermakna selaku khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna jika manusia itu tidak dibangunkan dari sudut spiritual, akhlak dan sebagainya menurut kerangka Islam. Usaha pembangunan ini hendaklah dilakukan
20 Ahmad, Khurshid (1980), op. cit., h. 182.
21 Surah al-Anfal 8:60.
22 Nora Yusma Binti Mohamed Yusop (2004), Pembangunan Sosioekonomi Menurut Perspektif Ekonomi Islam: Kajian terhadap Peranan Teras Dara Konsortium Sdn. Bhd. Dalam Pembiayaan Perumahan di Wilayah Pahang Tenggara, Disertasi Sarjana Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, h. 19-27.
23 Arif, Muhammad (1985), “Towards of the Definition of Islamic Economic: Some Scientific Considerations”, Journal of Research in Islamic Economics, Vol. 2 (2), Jeddah, h. 1-5.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
102
secara bersungguh-sungguh kerana ia satu keperluan kepada negara dalam misi memberikan kebajikan kepada umat manusia. Selain dengan berpandukan garis panduan dan acuan Islam dalam mencapai matlamat ini, Islam tidak menghalang jika dipinjam pemikiran, institusi dan alat daripada sistem-sistem lain selagi tidak berlawanan dengan Islam. Dalam hal ini untuk mencapai matlamat dan objektif pembangunan ekonomi berteraskan Islam tercapai, maka strategi-strategi dan pendekatan berikut perlu diikuti iaitu pendekatan pembangunan untuk manusia, pendekatan pembiayaan untuk projek pembangunan, pendekatan konsep kebajikan individu dan masyarakat, pendekatan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat dalam program pembangunan.
Pendekatan pembangunan insan dalam kerangka Islam adalah menitikberatkan pencapaian kekuatan fizikal dan rohani dan keunggulan kekuatan dalaman. Modul bina insan ini dicadangkan kerana pembangunan ekonomi tidak akan dapat berjalan lancar sekiranya kekuatan dalaman manusia tidak dibangunkan terlebih dahulu. Kekuatan dalaman akan melahirkan dorongan luaran yang berkesan yang memberikan semangat daya tahan dan juang yang kental untuk berusaha ke arah matlamat berkenaan. Kekuatan dalaman adalah sumber dorongan untuk berusaha membangunkan persekitaran fizikal.24 Usaha pembangunan manusia perlu dimulai dengan penyuburan iman, pelaksanaan secara berterusan kewajipan mereka kepada Allah S.W.T. dalam bentuk fardhu `ain dan fardhu kifayah dan usaha-usaha pembersihan hati dan jiwa daripada perkara-perkara yang mazmumah.
Pendekatan pembiayaan untuk projek pembangunan haruslah bersumberkan kepada kewangan Islam yang bebas daripada amalan riba, gharar dan perjudian. Sumber-sumber utama pembiayaan pembangunan termasuklah tabungan domestik, bantuan dan pinjaman dari negara-negara luar dan pelbagai bentuk pelaburan. Untuk mencapai matlamat pembangunan ekonomi Islam, sumber-sumber tersebut haruslah digunakan mengikut prinsip-prinsip muamalat Islam. Pihak kerajaan, swasta dan individu mempunyai pelbagai pilihan akad untuk mendapatkan modal-modal berkenaan dalam usaha pembiayaan mereka untuk memperolehi aset, pembiayaan aset semasa atau modal pusingan, pembiayaan aset tetap dan sebagainya, sama ada akad yang berasaskan ekuiti seperti mudarabah dan musharakah, atau yang berasaskan kepada pembiayaan hutang seperti bay` al-murabahah, bay` bithaman ajil, bay` al-istisna’, bay` al-salam, al-ijarah dan sebagainya, dan pembiayaan secara qard al-hasan. 25
24 Surtahman Kastin Hassan (1995), op. cit., h. 190-193.
25 Keterangan lanjut tentang akad-akad berkenaan, sila lihat, umpamanya, al-Zuhayli, Wahbah (1987), al-`Uqud al-Musammat, Beirut: Dar al-Fikr; BIRT (1998), Konsep Syariah Dalam Sistem Perbankan Islam, Kuala Lumpur: BIRT; Joni Tamkin bin Borhan (2005), “Pelaksanaan Prinsip-prinsip Syariah Dalam Amalan Perbankan Islam di Malaysia” dalam Abdullah Alwi Hj. Hassan et al (eds.), Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia, KL:
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
103
Pendekatan kerjasama antara pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam projek pembangunan dan penyediaan keperluan asas adalah untuk menolak konsep “struggle for existence” (berusaha untuk kepentingan diri sendiri), tetapi Islam menyarankan konsep “Cooperation for existence”(kerjasama untuk kehidupan) sebagai asas dalam kehidupan yang selari dengan konsep Tauhid. Pendekatan ini adalah bersifat multi dimensional (pelbagai dimensi) yang akan menghasilkan natijah yang positif kepada kegiatan pembangunan ekonomi negara dan juga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dalam negara.26
IMPAK PEMBANGUNAN EKONOMI BERTERASKAN ISLAM DALAM PEMBINAAN UMMAH
Ukuran kejayaan atau kegagalan sesuatu projek pembangunan haruslah dinilai impaknya ke atas kebajikan masyarakat secara menyeluruh. Untuk memastikan kebajikan masyarakat tercapai atau sebaliknya memerlukan kepada pertimbangan nilai. Dalam perspektif ekonomi konvensional, kebajikan masyarakat dicapai apabila tingkat kepuasan orang ramai terhadap penggunaan sesuatu barangan itu tinggi. Semakin tinggi kepuasan yang dicapai, semakin tinggi tingkat dan tahap kesejahteraan dan tingkat kebajikan yang dicapai oleh anggota masyarakat tersebut.27 Sementara dalam kerangka ekonomi Islam, fungsi kebajikan sosial Islam dilihat dari sudut asas maslahah. Maslahah ialah memutuskan sesuatu hukum bersemberkan prinsip kebaikan am pada perkara yang tidak terdapat nas daripada al-Qur’an secara jelas.28 Oleh itu prinsip yang dipakai dalam ekonomi Islam ialah meskipun kepuasan semakin meningkat kesan daripada penggunaan sesuatu barangan yang bertentangan dengan Syariah seperti barangan yang dilarang, maka fungsi kebajikan sosial Islam dengan sendirinya menolak penggunaan dan pengeluaran barangan tersebut. Dalam perkataan lain, barangan yang dilarang oleh Islam daripada digunakan atau dimakan, maka tidak dimasukkan dalam konsep dan fungsi kebajikan sosial dalam Islam.
Secara umumnya kebajikan sosial (social welfare) adalah aktiviti-aktiviti masyarakat yang dilakukan untuk memelihara atau menaikkan taraf “kebajikan”, kebaikan dan keselesaan yang mengarah kepada kebaikan kehidupan manusia. Umpamanya, kemiskinan sesebuah keluarga boleh diatasi dengan langkah-langkah kebajikan sosial untuk mengeluarkan keluarga ini daripada kemiskinan supaya dapat menikmati kehidupan yang Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., h. 41-87.
26 Nik Mustapha Nik Hassan (1998), Pengurusan Makro Ekonomi Negara Dari Perspektif Islam, Kuala Lumpur: IKIM, h. 34.
27 Nora Yusma Mohamed Yusop (2004), op. cit., h. 28-29.
28 Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad (1968), al-Madkhal al-Fiqh al-`Am, Beirut: Dar al-Fikr, h. 68.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
104
selesa. Kebajikan sosial dalam Islam adalah bersifat komprehensif iaitu meliputi individu dan masyarakat. Kebajikan ini tercapai apabila individu dan masyarakat berpegang kepada norma kehidupan yang berakhlak mulia yang merupakan asas kepada kemanusiaan dan tamadun masyarakat.29 Pihak pemerintah berperanan untuk pencapaian kebajikan sosial dalam masyarakat. Pencapaian kebajikan ini akan merapatkan hubungan pihak pemerintah dengan rakyat dan akhirnya dapat menjamin kestabilan sosial dan politik. Keadaan ini memberikan peluang kepada pihak pemerintah untuk meneruskan usaha-usaha pembangunan ekonomi.30
Dalam pemikiran ekonomi konvensional, kebajikan sosial dinamakan sebagai “ekonomi kebajikan”31 yang merupakan cabang dalam pengkajian ekonomi mikro. Bidang kajian ekonomi kebajikan ialah kajian tentang kesejahteraan anggota masyarakat sebagai satu kumpulan. Isu-isu yang dikaji ialah peruntukan sumber di kalangan industri dan pengagihan barangan di kalangan pengguna secara optimum.32 Walau bagaimanapun, dalam pemikiran ekonomi ini tedapat kesukaran dalam menentukan pencapaian ekonomi kebajikan itu kerana tidak terdapat satu sistem yang konsisten dalam membuat sebarang teori pembangunan ekonomi atau membuat model-model pembangunan ekonomi barat.33 Andaian-andaian yang dibuat hanya berdasarkan kepada penyelidikan-penyelidikan yang mereka lakukan, bukan berasaskan kepada satu sumber dan prinsip yang konsisten dan kukuh seperti yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Sebaliknya dalam kerangka ekonomi Islam, fungsi kebajikan sosial berasaskan kepada konsep maslahah yang menjadi dasar untuk membuat sebarang keputusan dalam perekonomian. Pembangunan ekonomi akan tercapai dalam bentuk yang seimbang, menyeluruh dan bersepadu kerana sebarang keputusan untuk usaha pembangunan harus mengambil kira persoalan maslahah dan tingkat-tingkat keutamaan, dan harus juga mengambil kira kedua-dua aspek kebendaan dan kerohanian. Selain itu, maqasid al-shari`ah menjadi asas kepada pencapaian kebajikan sosial Islam kerana asas ini menjaga kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh dan bukannya berdasarkan penemuan logik dan menjaga kepentingan segelintir ahli masyarakat dan mengabaikan kebajikan segelintir yang
29 Nik Mustapha Nik Hassan (1995), Islam-Kedudukan dan Peranan Sektor Awam dan Swasta, Kuala Lumpur: IKIM, h. 36.
30 Nik Mustapha Nik Hassan (1998), op. cit., h. 57.
31 Ibid.
32 Ahmad Mahdzan Ayob (1979), Teori Mikroekonomi, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 615.
33 Keterangan lanjut tentang teori-teori pembangunan ekonomi Barat, sila lihat, Nor Aini Idris dan Ab. Razak Dann (eds.) (t.t.), Teori Pertumbuhan dan Pembangunan Ekonomi, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, h. 74-102.
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
105
lain seperti dinyatakan dalam teori ekonomi kebajikan moden tersebut. Dalam bahasa lain, asas pembentukan fungsi kebajikan sosial Islam adalah kukuh dan konsisten sepanjang zaman dan sesuai dilaksanakan dalam semua tempat dan bangsa. Dalam kes fungsi penggunaan barangan dan perkhidmatan, asas yang digariskan oleh ekonomi Islam berdasarkan konsep maslahah ialah penggunaan barangan harus bermula dengan barangan daruriyyah, diikuti dengan barangan hajiyyah dan kamaliyyah dan ia adalah juga bergantung dengan pendapatan boleh guna individu. Selain pendapatan boleh guna individu, penggunaan sesuatu barangan, umpamanya barangan daruriyyah dalam ekonomi oleh golongan yang kurang mampu boleh disediakan oleh pihak-pihak tertentu seperti kerajaan untuk mencapai taraf kebajikan sosio-ekonomi.
Penggunaan harus berasaskan kepada prinsip-prinsip hak atau kebenaran, kebersihan atau suci, kerohanian atau akhlak, kesederhanaan, kemanfaatan dan kemaslahatan.34 Penggunaan ditakrifkan sebagai perbelanjaan individu muslim berasaskan prinsip-prinsip Syariah. Sementara dalam ekonomi konvensional, ia didefinisikan sebagai penggunaan terhadap barangan untuk memenuhi kehendak manusia ekonomi. Perbezaan antara konsep penggunaan dalam ekonomi Islam dengan konvensional, antaranya, ialah prinsip penggunaan konvensional lebih mementingkan pemaksimuman kepuasan nafsu atau utiliti tertakluk kepada batasan belanjawannya, sedangkan dalam ekonomi Islam prinsip penggunaan memperuntukan pendapatan yang ada dengan membelanjakannya secara sederhana dan mengikut maslahah atau keutamaan serta tertakluk kepada batasan Syariah. Oleh itu prinsip yang dianjurkan oleh Islam dalam kes penggunaan adalah seperti berikut:
Penggunaan barangan ekonomi haruslah berada di tahap yang a. mencukupi bagi setiap keperluan asas pengguna.
Penggunaan jenis barangan adalah tertakluk kepada prinsip b. maslahah dan hukum Syariah.
Penggunaan barangan ekonomi adalah sederhana, tidak boros dan c. tidak berlebihan.
Matlamat memaksimumkan kepuasan bukanlah matlamat utama d. penggunaan dalam Islam, tetapi matlamat pengabadian kepada Allah S.W.T. adalah yang utama.
Dalam kes pengeluaran, matlamat pengeluar dalam aktiviti pengeluarannya bukanlah untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum, tetapi berasaskan kepada “keuntungan yang berpada” yang dinamakan juga sebagai “keuntungan yang memuaskan”. Pengeluaran jenis-jenis barangan samada barangan asas, kesempurnaan atau mewah adalah ditentukan oleh
34 Mannan, M. A. (1980), Ekonomi Islam: Teori dan Praktis, Jilid 1, (tr.) Radiah Abdul Kadir, KL: A. S. Noordeen, h. 76-88.
Jurnal Usuluddin, Bil 27 [2008] 93-107
106
maslahah dan susunan keutamaan berdasarkan Syariah. Untuk mencapai kebajikan sosial dan ekonomi, pengeluaran barangan asas hendaklah diutamakan yang diikuti dengan pengeluaran barangan kesempurnaan dan mewah dengan syarat pengeluaran barangan yang terakhir tidak mengherot sumber-sumber pengeluaran untuk mengeluarkan barangan di dua tingkat teratas tersebut.
Demikian juga dalam kontek pengagihan pendapatan dan kekayaan seperti yang telah digariskan oleh Islam adalah bersepadu yang meliputi pengagihan kekayaan sebelum proses pengeluaran, pengagihan selepas proses pengeluaran dan akhirnya pengagihan kekayaan kepada mereka yang tidak terlibat dalam proses pengeluaran seperti orang sakit, cacat dan kanak-kanak. Proses pengagihan yang akhir ini dinamakan juga sebagai pengagihan semula kekayaan kepada masyarakat berkenaan melalui, antaranya, institusi zakat dan sedekah untuk mencapai fungsi kebajikan sosial dan ekonomi kepada masyarakat, dan supaya hata kekayaan itu tidak berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Bentuk pengagihan kekayaan ini berbeza langsung dengan konsep pengagihan kekayaan dan pendapatan dalam kerangka ekonomi konvensional kerana dalam teori ini tidak langsung membincangkan pengagihan berkenaan sebelum proses pengeluaran atau pengagihan semula kekayaan.
Oleh itu, untuk membentuk sebuah fungsi kebajikan sosial Islam, beberapa kriteria berikut harus dipatuhi supaya matlamat kebajikan tersebut tercapai dan matlamat tersebut selari dengan Syariah, iaitu:
Prinsip kepenggunaan, pengeluaran dan pengagihan pendapatan, a. dan kekayaan dalam ekonomi wajib mematuhi prinsip Syariah.
Konsep kebajikan individu asas kepada kebajikan masyarakat.b.
Konsep kesederhanaan kehendak dan utiliti dibatasi oleh prinsip c. Syariah.
Konsep keseimbangan pembangunan ekonomi menurut Islam diukur dari sudut pembangunan fizikal, rohani yang mencakupi kesejahteraan kehidupan di dunia dan di akhirat. Oleh itu persamaan yang boleh dibuat adalah seperti berikut:
Keseimbangan Pembangunan Menurut Islam = Pembangunan Ekonomi + Pembangunan Sosial + Pembangunan Rohani
Model yang dikemukakan oleh Islam tidak terdapat dalam kerangka pemikiran ekonomi konvensional yang amat mementingkan pembangunan kebendaan semata-mata. Dari sudut ekonomi, angkubah yang menentukan pembangunan ialah peningkatan kualiti hidup, pemilikan harta kekayaan dan perubahan tingkat pendapatan. Dari sudut sosial, angkubah yang menunjukkan perubahan dan pembangunan ialah pembangunan taraf
Pemikiran Pembangunan Ekonomi Berteraskan Islam
107
pendidikan, tingkat pengetahuan dan kemahiran, tahap kesihatan dan kemudahan asas. Sementara sudut kerohanian ditunjukkan oleh angkubah peningkatan tingkat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.. Peningkatan keimanan ini dapat melindungi manusia daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara dilarang oleh Islam dan dapat menjauhkan manusia daripada bersifat tamak, haloba, dengki, khianat, permusuhan dan sebagainya. Walaupun sukar untuk melihat perubahan dan pembangunan aspek kerohanian ini, namun pengabaian kepada aspek ini boleh meningkatkan kadar jenayah, penagihan dadah, rasuah, sumbang mahram dan sebagainya.
Berdasarkan kepada konsep dan definisi tamadun yang antaranya ditakrifkan sebagai pencapaian umat Islam dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berasaskan kepada agama, maka tanpa syak dan ragu-ragu lagi, boleh dikatakan bahawa teori dan model pembangunan ekonomi dalam rangka kerja Islam adalah bermatlamatkan pencapaian kebajikan sosio-ekonomi Ummah atau pembangunan Ummah yang bertamadun. Sebaliknya dalam model ekonomi konvensional, pembangunan hanya ditekankan dalam aspek material dan fizikal semata-mata akan pastinya melahirkan pembangunan ekonomi yang rapuh, pembangunan sosial yang pincang dan tidak membawa kepada pembangunan Ummah yang bertamadun. Malah pembangunan luaran dan fizikal ekonomi ini akan runtuh dengan sebab kebejatan akhlak masyarakat dan keruntuhan nilai-nilai tatasusila.
KESIMPULAN
Daripada perbincangan di atas bolehlah disimpulkan bahawa pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam adalah syumul, menyeluruh, multi dimensi dan bersepadu antara aspek rohani dan kebendaan melalui pendekatan fungsi kebajikan sosial dalam Islam untuk untuk mencapai kecekapan penggunaan, pengeluaran dan pengagihan pendapatan, dan kekayaan dalam Islam yang tertakluk kepada konsep maslahah dan prinsip maqasid al-shari`ah. Teori pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam adalah asas kepada pembentukan Ummah yang bertamadun, Ummah yang kuat dan kental Imannya, Ummah yang teguh rohaninya, Ummah yang selesa penghidupannya dan Ummah yang mencapai al-falah dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi.

ติดตาม

Get every new post delivered to your Inbox.